Bab 7 Pergi Mengaji

BAB 7 Mengaji


Bila bercerita pasal mengaji,  Kak Jora yang akan bising mengingatkan adik-adiknya pergi mengaji.  Dia punya berleter mengalahkan Mak.  Seolah-olah dialah Mak kepada kami adik-beradik.


Apa yang melucukan saya, walaupun Kak Jora adalah orang yang bertanggungjwab mengingatkan saya dan adik-adiknya Am dan Is tentang perihal mengaji.  Dia tidak suka mengaji dihadapan orang lain.  Saya pernah lihat Kak Jora mengaji semasa saya kecil namun bila sudah remaja.  Kak Jora lebih mengarahkan kami.


Saya juga tidak pelik dengan tindakan Kak Jora kerana dia seorang pemalu.  Dia rasa rendah diri apabila dia mengaji lebih banyak sebutan yang salah daripada yang betul.  Di tambah pula kadang-kadang dia diejek selepas dia selesai mengaji.  Kasihan Kak Jora…


“Kau pergilah mengaji.  Hari ini Ya tak nak pergi mengaji.  Ya nak berehat”,  sambil baring di atas katil.


Saya bertanya.


“Kenapa tak nak mengaji?  Nanti kalau Abah tahu macamana…mesti Kak Jora kena marah”.


“Abah tidak akan tahu kalau kau tidak beritahu”.


‘Bijak juga kakakku ni’.  Saya berkata dalam hati.


“Cuba Kak Jora beritahu macamana kalau Abah tanya?”,  saya cuba bertanya lagi.


“Ala…bising lah”,  Kak Jora mula memprotes.


Saya sangat faham perangai Kak Jora.  Sekiranya dia mengatakan tidak mahu, tidak perlulah kita bersusah-payah memujuknya lagi.  Kalau hitam Katanya hitam lah seterusnya.  Tidak akan bertukar jadi warna lain.


Saya meninggalkan Kak Jora keseorangan dalam bilik.  Sambil tangan saya memegang basikal, fikiran saya tertanya-tanya kenapa Kak Jora tidak mahu pergi mengaji.


Sampai di rumah Makcik yang ajar kami mengaji.  Kelihatan beberapa kanak-kanak lelaki yang lebih kurang sebaya umur saya.


“Hei,  mana kakak kau yang pelat tu?” tanya salah seorang budak di situ.


Saya terus terfikir, rupanya inilah alasan kenapa Kak Jora tidak mahu mengaji.  Ada orang yang mengejek dia.  Kak Jora akan mudah terasa hati bila orang mengejek tentang dirinya.  Walaupun dia tidak pernah menangis apabila perkara sebegini berlaku.  Namun, gerak-gerinya yang mendiamkan diri di rumah menunjukkan tanda-tanda dia berkecil hati.  

Bukan dia pinta untuk dilahirkan begitu.


Saya menghampiri budak yang bertanya tentang Kak Jora.


“Kenapa kau tanya?” tanya saya kepada budak tersebut.


“Saja…”, jawab budak itu dengan muka selamba.


“Kakak saya tidak datang mengaji hari ini sebab awak ejek dia.  Dia tersinggung dengan kata-kata awak.  Awak tahu tak? Dia bukan nak dilahirkan pelat.  Cuba bayangkan kalau dia dilahirkan dalam keluarga awak.  Jadi kakak awak, jadi adik awak atau awak sendiri.  Orang lain ejek dia.  Apa perasaan awak?  Sedih tak.  Kalau awak tidak sedih bermakna awak tidak ada perasaan.  Awak faham tak?”, saya berkata sambil menjerit di hadapan mukanya.


Saya dapat melihat muka budak itu terkejut dengan kata-kata berani saya… yang penting saya puas.


Saya terus menghamburkan kata-kata dengan penuh semangat.  Bagi saya Kak Jora perlu pembelaan.  Bukan sekali ini orang keliling memberikan kata-kata ejekan padanya tetapi sudah berkali-kali.  Dan, sering kali juga keberanian saya datang bagi mempertahankan Kak Jora.  


Kadang-kadang saya duduk terfikir,  kenapa perkara seperti ini timbul?  Bagi saya orang tua patut mengajar dan mengingatkan tentang anak-anak mereka.  Jangan mengadakan perbezaan antara anak-anak.  Apabila kita mengadakan perbezaan, ia akan menyebabkan anak-anak lebih tidak berkeyakinan.  Ini yang berlaku pada Kak Jora.  Keadaannya semenjak daripada kecil sering menjadi ejekan kawan-kawan tidak kira di sekolah mahupun di kalangan saudara-mara.  Namun begitu, ada juga yang menyayangi Kak Jora dan rajin mendengar cerita Kak Jora.  


Sebenarnya, Kak Jora seorang yang suka bercerita.  Kenapa dia boleh bercerita? Kerana dia lebih banyak memerhati orang sekeliling.  Itulah kelebihan Kak Jora.  Kalau di melihat orang, kita yang dilihat akan jadi serba-salah dibuatnya.  Akhirnya, akan berhenti daripada membuat sebarang kerja.


#hakciptaterpelihara #mykarya

0 ulasan