Bab 6 Kuih Raya

 “Aul, hujung minggu ini kita buat kuih raya.  Nak?”


“Siapa nak beli barang-barang buat kuih?” tanya saya.


“Nanti kita ajak Abah pergi supermarket beli barang-barang kuih”, Kak Jora memberi cadangan.


Rupa-rupanya petang itu Abah sudah beli siap-siap barang untuk membuat biskut raya.  Abah minta Mak buatkan biskut kegemaran dia, biskut peanut butter.  


Setahu saya sejak saya mengenal apa itu hari raya, Mak tidak pernah sekalipun tidak buat biskut peanut butter.  Hebatnya Mak, bila buat biskut peanut butter tanpa melihat buku resepi.  


Saya melihat dalam plastik ada marjerin, telur, gula dan peanut butter jenama Ladies Choice.


“Cukup la kan Mak?”, Saya bertanya pada Mak.


“Mak nak buat biskut apa tahun ini? Berapa jenis nak buat?” Tanya saya lagi.


“3 jenis la rasanya.  Cukup la tuh, nanti membazir pula”, jawab Mak.


“Aul dengan Kak Jora nak tolong, boleh?” Saya memberi cadangan pada Mak.


“Boleh.  Nanti Mak bancuh adunan biskut.  Lepas tu korang sambung terap ye.”


Saya tersengeh mendengar cadangan daripada Mak.  Kemudian, saya berlari ke ruang depan mencari Kak Jora.


“Kak Jora, kau nak buat biskut raya tak?” tanya saya meminta pengesahan dari Kak Jora.


“Ala, tan Ya dah shatap nak buat tueh raya butan bistut raya”, jelas sangat pelat Kak Jora bila dia menyebut biskut dan kuih.  


Tergelak saya seorang diri sambil mata memandang ke arah lain.  Risau pula saya Kak Jora perasan saya gelakkan cara dia bercakap.  Dia akan menjerit kalau dia perasan orang lain mengejek dia.  Kesian Kak Jora.  


“Sama la tuh biskut raya ke kuih raya ke?” jawab saya.


“Hujung minggu tau.  Kita buat pagi-pagi. Jangan bangun lambat pula.”


“Ya tahulah.”


Kenapa entah Kak Jora kali ini moody sangat.  Mesti ada yang tidak puas di hatinya.


Saya beritahu pada Mak sikap Kak Jora yang tidak berapa gembira.  Rupa-rupanya Kak Jora tidak puas hati tentang cadangan dari Mak untuk buat biskut raya yang seperti tahun sebelum ini.  Katanya dia mahukan kelainan biskut pada tahun ini.


Saya faham apa yang dimaksudkan Kak Jora.  Dia teringin untuk memasak pelbagai resepi tetapi kekurangan pada dirinya membuatkan dia rasa terbatas untuk melakukan yang terbaik.  


Kerana, ia menuntut Kak Jora perlu membaca namun dia tidak tahu untuk membaca resepi daripada majalah.  Kak Jora dalam diam suka membelek majalah-majalah yang Mak beli setiap bulan.  Dan, saya juga tahu Kak Jora menyalin setiap resepi dalam buku resepinya.


Pernah satu hari, Kak jora tunjukkan pada saya buku yang telah di salin resepi daripada majalah.  Malangnya hampir kesemua resepi yang di salin saya tidak faham kerana ada sebahagian resepi itu Kak Jora hanya menyalin bahagian atas sahaja.


Kasihan Kak Jora…


“Kak Jora, kau nak buat kuih apa? Kuih warna kuning ke warna biru?”  saya cuba berlawak dengan Kak Jora.


“Ada ke kuih warna biru?”  Kak Jora bertanya dalam bahasa pelatnya.


“Ada…”, jawab saya penuh yakin.


“Bolehlah… Ya nak buat kuih warna biru.  Kau ada resepi ke?” Tanya Kak Jora.


Saya sudah jadi serba-salah pula.  Lawak saya menjadi perkara serius pada Kak Jora.  Dia bersungguh-sungguh minta saya buat biskut biru.


Alhamdullilah… Akhirnya biskut biru menjadi, yang penting saya lihat ada raut kegembiraan di wajahnya.  


#hakciptaterpelihara #mykarya


0 ulasan