Bab 5 Kad Hari Raya

Bila tiba bulan Ramadhan, Kak Jora paling suka mengumpul kad hari raya.  Dia akan mencari kad-kad tahun lepas yang masih boleh digunakan lagi.


Kak Jora selalu berimpian untuk dapat kad hari raya daripada kawan-kawan kelasnya  Namun, tiada siapa yang sudi beri padanya.  Mungkin kerana dia tidak pandai membaca maka tiada yang berkesudian.  Namun, saya fikir apa salahnya.  Kak Jora ada adik yang boleh membaca.  


Kasihan Kak Jora.


Kisah ini berlaku pada tahun 1988.  Pada tahun ini juga Kak Jora menduduki UPSR.  Saya pula baru masuk Tahun 4.


Saya masih ingat lagi, bila Kak Jora bersungguh-sungguh meminta saya menulis nama rakan-rakan kelasnya.  Walaupun Kak Jora tidak pandai membaca tetapi dia boleh menulis.  Dia akan meniru setiap tulisan pada buku-buku.


“Aul, tolong tulis nama kawan Ya pada kad ini”.


“Kak Jora nak beri kad raya pada siapa?”, tanya saya.


“Nak beri pada Siti Tolijah”.


“Ooo..”, saya mengiyakan sahaja.


“Mana kad raya tuh?”, saya bertanya.


Kak Jora mengeluarkan kad raya dari beg sekolahnya yang baru di beli di koperasi sekolah.


“Cantiknya.  Berapa harga kad ni? Kau beli kad ni ada ke duit belanja makan tadi?”,  runsing juga saya dengan Kak Jora.


Kak Jora jenis seorang yang sanggup berlapar dalam diam.  Kemudian, dia akan makan diam-diam di dapur.  Itu tandanya dia kelaparan sangat.


“Adalah.  Semalam duit yang Abah beri Ya tak belanja.  Ada kawan kongsi kuih masa waktu rehat.  Jadi duit ini duit semalam lah.  Ya beli satu sahaja”.


Kak Jora juga ada masalah dalam pengiraan.  Dia tidak pandai mengira duit dalam jumlah yang besar.  Masalah yang berlaku pada Kak Jora ialah dia selalu kekurangan duit belanja kerana dia terlebih beri duit pada si penjual.  


Kasihan Kak Jora. Maka, bagi menyelesaikan masalah ini Abah akan menyediakan duit syiling pada dia dan tiada duit kertas.


Memang cantik kad yang Kak Jora pilih.  Tentu kawan itu istimewa buatnya.  Pandai pula Kak Jora.


“Cepatlah.  Tolong tuliskan nama dia”, pinta Kak Jora.


“Mana nama dia?”, kata saya.


“Alamak, Ya tak ingat nak salin nama dia tadi.  Cepat sangat dia simpan buku.  Tulis lah, nama dia Siti Tolijah”,  jawab Kak Jora dalam pelatnya.


Kali ini saya benar-benar tidak faham apa yang dikatakan Kak Jora.  Ada juga saya terfikir kenapa pelik sangat nama kawan Kak Jora ‘Siti Tolijah’ ini.  Dia ini bangsa apa? Melayu kah? Jawa kah?


Namun, saya menurut sahaja kehendak Kak Jora walaupun jauh disudut hati saya rasa sedih.  Saya sedih kerana tidak dapat bantu sepenuhnya memastikan ejaan nama kawan Kak Jora.  


“Ok, dah siap! Betul kan nama dia macam ni?”, saya meminta kepastian.


Sambil tangan saya menghulurkan kad hari raya pada Kak Jora.


“Macam tak betul.  Tapi tak apa lah esok Ya bagi dia.  Sekiranya tidak betul nama dia mesti dia pulangkan semula kad ini”, Kak Jora menjawab dengan penuh keyakinan.


“Eh, mana boleh macam tu.  Macam tak best la.  Kad sudah diberi tapi dipulangkan semula”.


“Tak apa.  Dia ini baik orangnya”.


Keesokan harinya… pulang dari sekolah.


“Kawan Ya tidak mahu terima kad raya ini.  Dia kata ini bukan nama dia.  Kau tulis salah ni nama dia”, Kak Jora menuduh saya tidak betul mengeja nama rakannya.


Ini juga merupakan perangai Kak Jora.  Dia seorang yang susah untuk terima kesalahan yang dia telah lakukan.  Selain daripada itu juga, Kak Jora seorang yang tidak mahu menerima kekurangan yang ada pada dirinya.  Pada fikirannya, apa yang dia katakan dan fikirkan adalah benar.  Kadang-kadang saya juga bergaduh kerana isu yang mana Kak Jora tidak mahu mengaku kesalahannya sendiri.  


“Eh, kenapa pula.  Semalam kan orang dah tanya.  Betul ke nama dia itu ‘Siti Tolijah’?  Kau kata betul?”


Biasanya, saya akan membahasakan diri 'orang' dengan adik-beradik.


Berang juga saya dibuatnya apabila dituduh salah tulis ejaan nama kawan dia.


“Kan Ya dah cakap nama dia ‘Siti Tolijah’.  Semua orang panggil dia ‘Siti Tolijah’.  Kalau tak percaya Aul pergi tanya dia sendiri apa nama sebenar dia”.


Sekali lagi saya tidak dapat membantu Kak Jora.


“Bak lah sini kad itu.  Kita betulkan sama-sama.  Liquid paper ada? Kau ada tak tulis nama dia pada kertas lain? Senang sikit boleh tulis terus pada kad raya ini”,  


Saya cuba beri cadangan pada Kak Jora supaya pergaduhan tidak semakin marak.  Saya sudah faham benar perangai Kak Jora ini.  Sekiranya saya layankan kemarahannya,  mungkin berakhir dengan barang lain pula yang akan di baling pada saya.  Kak Jora akan menjerit-jerit  tanda dia protes.


“Mana ada.  Ya tidak sempat hendak tulis nama dia tadi”, jawab Kak Jora.

Kelihatan di wajahnya perasaan kecewa kerana tidak dapat beri kad hari raya.

“Esok Ya minta dia tuliskan nama dia pada kertas lain ya.  Boleh tak?”  pujuk Kak Jora.


Masuk Hari ke 3…


“Aul, Ya dah dapatkan nama dia.  Nanti kau tolong tulis nama dia ye.  Ya nak pergi makan nasi”.


Kak Jora terus berlalu ke dapur.  Nampak sangat kelaparan.  Mesti ada apa-apa yang berlaku di sekolah tadi.  Saya tidak akan dapat jawapan daripada mulut Kak Jora sendiri tentang apa yang berlaku di sekolah.  Jarang sangat dia hendak bercerita sekiranya cerita itu memperlihatkan kekurangan dia. 


Akhirnya, setelah hari keempat baru Kak Jora dapat beri kad hari raya pada ‘Siti Tolijah’. 


Saya juga menerima berita yang mengembirakan daripada Kak Jora kerana ‘Siti Tolijah’ telah membalas kad hari raya Kak Jora pada hari yang berikutnya.


“Aul, Ya dapat kad hari raya daripada Siti Tolijah”.


“Tengok?” 


Kak Jora menghulur kad hari raya ‘Siti Tolijah’ pada saya.  Lalu, saya terus membaca setiap kata-kata di dalam kad itu.


‘Selamat Hari Raya Aidilfitri.  Maaf Zahir dan Batin’


Daripada,

Siti Khadijah.


Termenung saya, rupanya nama Kawan Kak Jora aalah Siti Khadijah.


0 ulasan