Bio Penulis

Entri 1  :  Pengenalan Diri Penulis



Bismillahirrahmanirrahim...Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


Assalamualaikum w.b.t


Alhamdulillah, segala puji-pujian hanya untuk Allah Taala. Pertama sekali saya memperkenalkan diri saya.  Nama saya Siti Khairulbariah binti Sahbudin.  Anak ketiga daripada lima beradik (3 orang perempuan dan 2 orang lelaki).  Berumur 39 tahun (ketika blog ini dilancarkan) dan sudah mempunyai 2 orang cahaya mata.  Saya mula memegang jawatan pengurus rumahtangga dan bekerja dari rumah sejak 2013.



Alhamdullilah saya mendapat pendidikan sempurna daripada kedua orang tua saya.  Bermula pada usia 4 tahun, saya telah dihantar ke sekolah tadika di kawasan rumah orang tua saya di Kajang.  Kemudian, arwah bapa saya dihantar bertugas ke Teluk Intan dan saya bersekolah di Sek Ren Keb Sultan Abdul Aziz sehingga Darjah 3.  Selepas itu saya dipindahkan ke Sek Keb Seri Intan sehingga Darjah 5.  Tahun berikutnya, saya telah berpindah setiap tahun sehingga Tingkatan 3.  Di sini saya kisahkan diri saya yang bersekolah sebanyak 7 buah sekolah daripada sekolah rendah sehinggalah sekolah menengah.  Pengalaman yang cukup menarik yang rasakan bukan semua orang boleh dapat seperti apa yang saya dapat, alhamdullilah.  Saya berpindah sekolah kerana mengikut bapa bertugas dan saya bukan anak tentera, anak Imigresen.  Kemudian, selepas SPM saya melanjutkan Diploma Teknologi Maklumat, UKM.  Tamat Diploma saya menyambung pelajaran di UPM dalam jurusan Sains Komputer.  Terakhir saya menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang Sains Komputer di UPM.  Saya tidak menyambung PhD kerana mengikut suami bekerja di luar negara.

Selepas tamat pengajian di Universiti Putra Malaysia, saya pernah bekerja sebagai guru gantian di Sekolah Kebangsaan Subang selama 3 bulan.  Rezeki memihak kepada saya apabila saya di panggil untuk ditemuduga sebagai pensyarah di Kolej Inpens.  Lebih kurang 4 tahun bertugas di situ, banyak pengalaman pahit manis yang saya nikmati.  Selepas berkahwin, saya mengambil keputusan bercuti tanpa gaji kerana mengikut suami bertugas ke luar negara selama setahun.  Sekembali ke tanahair saya telah diarahkan oleh SUK untuk bertugas di Universiti Industri Selangor sebagai penolong pendaftar.  Di Unisel saya hanya bertugas selama 2 minggu sahaja dan akhirnya saya mengambil keputusan berhenti kerja kerana ingin menumpukan sepenuh masa pada keluarga.  Memandangkan perjalanan ke tempat kerja yang lebih jauh di Bestari Jaya berbanding sebelum ini dan saya sendiri tidak dapat memegang jawatan pensyarah semula.  

Blog ini merupakan coretan cerita saya dari hati.  Tentang kehidupan saya yang terkini di Kanada.  Juga ada beberapa tips untuk anak-anak yang sedang membesar.   Mungkin ada di antara coretan ini boleh di jadikan sumber inspirasi kepada pembaca.  


Salam Perkenalan.

Wassalam.



















0 ulasan