Kisah Bilik Solat

Hari ini, saya ingin kisahkan bagaimana saya mengusahakan sesuatu untuk kemudahan solat di sekolah anak saya Lana.. Bagi saya, ia sebuah pengalaman buat Lana dan mungkin juga akan menjadi titik tolak kepada muslim yang akan datang untuk bersolat.

Semenjak, saya berhijrah ke Kitimat... antara perkara yang amat saya runsing ialah tentang waktu solat anak-anak saya.  Semasa Lana dan Umar datang ke Kitimat, mereka bersekolah di sekolah yang sama iaitu St. Anthony School.  

Pada hari pertama kedatangan kami ke sekolah tersebut, saya telah meminta dengan Guru Besar sekolah untuk satu ruang solat dan juga pelepasan untuk Umar dan Lana bersolat.  Malangnya permintaan saya dan suami ditolak.  Pihak sekolah hanya benarkan saya membawa Umar dan Lana keluar dari sekolah jika hendak menunaikan solat.  Saya akur dengan alasan yang mereka berikan... iaitu tiada ruang untuk solat dan sekolah sempit.  

Maka, bermulalah usaha bahagian saya pula mengatur dan menjaga waktu solat mereka.  

Di sini, apabila musim sejuk... waktu solat antara Zohor dengan Asar sangat pendek.  Bila ketika bulan Januari jarak masa antara kedua waktu hanyalah 45 minit...

Suami saya meminta saya berkorban setiap hari untuk membawa keluar Lana dan Umar bila sampai waktu solat Zohor.  Berbekalkan kompas dan air wuduk di dalam botol... Lana dan Umar solat di dalam kereta dalam keadaan duduk.  Begitulah setiap hari sepanjang bulan Januari.  Waktu Zohor yang sangat pendek membuatkan saya tidak dapat bawa mereka pulang dan solat di rumah.

Kenapa tidak solat di luar kereta? Ketika bulan Januari, salji di luar sangat tebal dan suhu sekitar -10 degrees.  Pernah beberapa kali, air wuduk di dalam botol beku kerana sangat sejuk.  Sebab saya tertinggal botol tersebut di dalam kereta dalam tempoh 4 jam.

Bukan saya tidak kasihan pada Lana dan Umar... tetapi bagi saya kalau perkara wajib ini pun kita ambil ringan, apa lagi perkara lain.  Antara perkara yang saya ingat bila guru saya berkata, 'hati' kita mula akan keras dan mati bila mana kita mula menjinakkan diri meninggalkan solat waktu.

Dan kini, sejak dua bulan yang lalu... Lana sudah dapat bersolat di ruang yang di sediakan di sekolah barunya.  Lana telah berpindah ke High School sejak naik gred 9.  Sama seperti semasa di St Anthony School, saya telah memohon untuk ruang solat buat Lana dan minta kelapangan waktu pergi solat.  Alhamdullilah, saya bersyukur permohonan saya telah dipermudahkan.  Syukur Syukur Alhamdullilah...

Hanya Umar sahaja yang masih bersekolah di sekolah yang sama.  Dan, sekali lagi pada tahun ini... ada satu rutin wajib untuk saya berusaha membawa Umar pergi mengerjakan solat waktu Zohor setiap hari.

Saya amat yakin Allah akan sentiasa bantu saya sekeluarga sekiranya saya berusaha menjaga hak-hakNya.

Anak-anak saya adalah permata cinta hati saya dan suami. Dan,  mereka juga adalah amanah-amanah Allah yang saya perlu jaga akidahnya.  Semoga istiqamah ini dipermudahkan...

Koleksi Sitikb
Semasa di Stewart, British Columbia, Canada



Koleksi Sitikb
Semasa di Stewart, British Columbia, Canada


Koleksi Sitikb
Semasa di Terrace, British Columbia, Canada





0 ulasan