Undang-undang Jalan Raya di Kanada

Saya baru sahaja terima lesen antarabangsa dari Malaysia.  Bermakna selepas ini saya akan gunakan lesen antarabangsa di Kanada.

Walaupun saya bercadang untuk membuat lesen kelas 5 (kereta) di sini, namun pihak kelas memandu mengesyorkan kami memohon lesen antarabangsa.  Katanya sukar hendak lulus sekiranya ambil peperiksaan memandu di sini.  Begitulah cara mereka, mereka akan cuba memudahkan kita dan bukan hanya memikirkan untung bagi satu pihak sahaja.

Undang-undang jalan raya di sini ada sedikit perbezaan dengan Malaysia.  Terutama di bahagian simpang. Contohnya sekiranya berada di simpang 4 yang mana terdapat tanda berhenti, pemandu wajib berhenti dan beri laluan kepada pemandu lain sebelah kanan.  Sekiranya tiada kenderaan sekalipun, pemandu wajib berhenti pandang kiri kanan depan melihat sekeliling.  Barulah bergerak perlahan.  Macam gambar saya di bawah ni..😃




Pengalaman saya memandu kereta di sini amat menerujakan diri saya.  Pemandu di sini sangat menghormati pengguna jalan raya yang lain.  Walaupun kenderaan di sini mepunyai sisi yang besar (kebanyakannya tidak ada di Malaysia) mereka memandu mengikut tanda had laju.  Di kawasan bandar, pemandu memandu tidak melebihi 50km/j manakala di kawasan luar bandar 80km/j. Kadang-kadang terlajak juga saya menekan pedal minyak kerana sudah terbiasa dengan cara memandu di Malaysia.  Cepat-cepat saya beristighfar  dan menekan pedal break bila saya lihat tiba-tiba ada pejalan kaki yang sedang berjogging terus melintas tanpa melihat kira dan kanan.  Begitulah cara di sini, pemandu yang wajib berhati-hati melihat sekeliling.

Sekiranya dari jauh pemandu sudah nampak ada yang sedang menunggang kuda atau mengayuh basikal.  Pemandu wajib menekan pedal break dan bergerak dalam kelajuan 30km/j dan sekiranya perlu harus berhenti sehingga mereka berada dalam posisi selamat.

Saya melihat semua situasi dengan penuh rasa keterujaan sehinggakan saya terfikir sekiranya sistem pemanduan kenderaan di sini diikuti oleh semua pemandu Malaysia.  Saya amat yakin kemalangan boleh dikurangkan.

Pernah beberapa kali saya keluar minum petang bersama rakan-rakan di sini yang mana kesemuanya adalah bangsa inggeris.  Sudah tentulah tidak menjadi halangan kepada mereka untuk memesan wine.  Namun apa saya ketahui mereka tidak memandu sendiri kerana yakin akan mabuk pabila keluar minum bersama rakan-rakan. Sampai begitu sekali, mereka berfikir tentang keselamatan jalan raya.

keretapi sedang bergerak, tiada pagar 

Lori trak di jalan raya




Saya juga pernah mendengar kisah boss kepada suami saya, Dywen.  Katanya kami akan simpan telefon bimbit apabila memandu.  Bukan di poket tetapi dalam dashboard kerana ingin fokus kepada pemanduan.  Saya mendengar dengan penuh rasa hormat dan termalu sendiri kerana saya juga sering mengangkat dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu di Malaysia.

Kadang-kadang apabila kita menegur kenalan kita yang kita kenal membuat video conference sambil memandu, kita pula di katakan tidak baca huraian. Kita buat kerana kita sayang, betul kan.  Walaupun saya tidak mengenali mereka tetapi apabila tertera mereka warga Malaysia tentulah ada sedikit rasa kasih di hati.  Betul tak kawan-kawan?  Jadi, saya cadang kepada warga Malaysia yang saya kasihi jangan buat video sambil memandu.  Ia amat merbahaya walaupun kita ini pemandu handalan dunia.  Kita ingat bahawasanya ada lagi pengguna jalan raya di atas jalan selain daripada kita.  Kita berkongsi jalan raya yang sama.

Saya buat peringatan untuk diri sendiri dan anak-anak saya sebenarnya.  Tidak terlintas untuk mengecam sesiapa.

Namun, kerana sayang saya buat peringatan ini.  Sama-sama kita berubah ye.  Boleh tak?

Sedih kerana hampir setiap hari saya menerima berita kematian akibat kemalangan jalan raya di Malaysia.  Terbaru semalam saya mendapat berita guru yang pernah mengajar anak saya dalam acara sukan memanah berusia 19 tahun kemalangan jalan raya di Sepang. Innalilahiwaiinahirajiun….

Rumah saya di sini betul-betul berada di belakang hospital, namun nak dengar seminggu sekali siren ambulan pun susah.  Sangat sunyi… hampir saya terlupa saya tinggal berhampiran dengan hospital.

0 ulasan