Buat Kerja Dengan Gembira

Pada hari Isnin yang lepas, saya ke Terrace memandu seorang diri.

Tujuan saya untuk servis kereta.  Semenjak musim Covid19, pusat servis kereta tidak dibuka lagi pada hari Sabtu.  Hanya dibuka pada hari-hari biasa.

Sesungguhnya, kalau diikutkan hati... memang rasa malas sangat nak memandu seorang diri ke Terrace.  Tidaklah jauh sangat dalam 70 km sahaja.  Tetapi, suasana sekeliling membuatkan kita boleh terleka dan khayal ketika memandu.

Selepas menghantar anak-anak ke sekolah terus saya memandu ke Terrace.  

Semasa melalui kawasan Lakelse Lake, ada sekatan jalan raya.  Mungkin ingin membesarkan jalan, saya sendiri pun tidak tahu apa tujuan mereka.

Lama juga saya menunggu.  Hampir 5 minit, sempat saya habis makan bekalan yang saya bawa dari rumah.

Sambil mulut saya mengunyah, saya dapat melihat di cermin hadapan kereta saya.  Seorang muda yang berdiri sambil memegang sepanduk 'STOP'.  Dan, saya tahu...kedua-dua bahagian jalan raya sedang berhenti dan menunggu isyarat sepanduk bertukar kepada 'SLOW'.

Kemudian, sepanduk bertukar kepada 'SLOW' kami pun bergerak secara perlahan-lahan. 

Apabila sampai kereta saya berdekatan dengan 'orang' yang memegang sepanduk.  Dapat melihat dia dengan gaya seronok sambil melambai-lambai 'good bye' pada semua pemandu.  Siap dengan menari bagai.  

Saya yang tadinya, ada sedikit gusar kerana berfikir tentang kelewatan untuk sampai di pusat servis kereta.  Tiba-tiba saya tersengeh seorang diri di dalam kereta.  Hati saya juga ikut girang seperti 'orang' yang memegang sepanduk itu.

Sebenarnya ada 2 orang yang memegang sepanduk.  Bahagian sebelah kiri dan kanan.  

Pada mulanya, saya fikir mungkin hanya 'orang' yang pegang sepanduk di bahagian jalan saya sahaja yang seperti syok sendiri.  Rupa-rupanya yang sebelah kiri sana pun sama...melambai-lambai kegirangan mengucapkan 'have a good day' pada semua pemandu.

Saya pula yang gembira melihat mereka bekerja penuh kegembiraan.

Tak pernah sebenarnya, saya melihat suasana bekerja yang girang seperti ini.

Begitulah, buat kerja dengan gembira...mungkin istilah yang bagus saya perlu tanamkan dalam diri saya...

Koleksi Sitikb
Nisga'a Hiway 

     

0 ulasan