Kutu Kepala

Siapa di sini ada pengalaman kena diserang oleh kutu di rambut?

Saya yakin hampir keseluruhan dari pembaca di sini pernah ada pengalaman kena serang dengan kutu…




Bila kita dengar macam melucukan pun ada.  Betul tak?  Tapi kalau ramai orang di sekeliling yang kena ia dah jadi seperti satu mala petaka pula.  Rasa seperti terancam satu dunia sedangkan binatang itu kecil sahaja. 😆

Pada 2 hari lepas saya menerima satu email dari pihak sekolah St Anthony yang bertajuk Head Lice.

Terkejut saya, rupa-rupanya isu kutu kepala adalah satu isu besar di sini. Alamak!

Pihak sekolah meminta kami ibu bapa wajib memastikan anak-anak bebas daripada kutu kepala.  Sekiranya terdapat kutu di kepala, anak-anak tidak dibenarkan hadir ke sekolah. Anak-anak dibenarkan hadir ke sekolah selepas pulih daripada kutu di kepala. Mereka juga meminta ibu bapa membawa anak-anak ini ke HealthLink British Columbia untuk keterangan lanjut bagi menyelesaikan masalah ini.

Saya termenung bila menerima email dari pihak sekolah.

Bukan apa, teringat semasa di zaman asrama sekolah dulu.  Sekiranya ada kutu sekalipun kita tidak akan beritahu kawan-kawan.  Malu tau!  Hanya kawan-kawan terdekat sahaja yang tahu.  Bila balik sahaja dari sekolah. Kawan-kawan dalam dorm akan tolong sikatkan buang kutu di kepala.  Tergedik-gedik kutu-kutu menari kerana kepanasan akibat panas dalam tudung.  Merenyam tak usah cerita bila pakai tudung.  Rasa seperti nak tanggalkan sahaja tudung sekolah bila sudah kepanasan.  Geli hati pula bila mengenangkan kisah lalu.

Selalunya serangan kutu kepala berlaku bila balik kampung.  Di kampung, kita akan cari sepupu… Tidur sama-sama, main sama-sama.  Jadi bila balik ke rumah masing-masing.  Ibu-ibu akan menyelongkar rambut anak-anak selepas seminggu.  Apa lagi, memang betul masing-masing sudah kena serangan.  Siapa pembawanya, masing-masing malu nak mengaku.

Kalau zaman masa saya kecil dahulu hanya berbekalkan sikat kutu untuk membuang kutu-kutu di kepala tetapi sekarang ia lebih mudah kerana sudah ada ubat pembasmi kutu kepala.  Begitulah ceritanya.

Tapi ia sangat berbeza di sini.  Sekiranya peraturan di Kanada ini seperti di Malaysia.  Saya yakin ramailah anak-anak yang tidak hadir.  Mungkin kelas akan jadi kosong.  Ia akan jadi satu pesta pula.

Ye lah kan.  Lain negara lain caranya.  Lain bangsa lain budayanya.

Kita sama-sama menghormati satu sama lain.  Barulah aman.  Betul kan?


0 ulasan