Ajak Belanja Tapi Kena Marah

Entri 56

Entri kali ni bukan cerita luar biasa, tapi ia sebuah kisah yang biasa-biasa kita lihat.

Assalamualaikum w.b.t

Mungkin juga ia pernah di alami oleh kita sendiri dan mungkin juga kita juga pernah lakukan.  Saya juga membuat peringatan kepada diri sendiri.

Pada hari sabtu baru-baru ini, saya telah menyinggah sebuah restoran untuk makan tengahari bersama anak perempuan saya Lana.  Kami hanya berdua kerana anak lelaki saya pergi ke rumah rakan karibnya yang mengadakan majlis hari jadi.  Disebabkan hanya saya berdua, saya telah 'WhatsApp' kepada suami saya yang saya tidak masak tengahari.  Jadi saya minta dia makan tengahari bersama rakannya selepas habis permainan golf.  Alhamdullilah.. saya mendapat jawapan yang menyenangkan daripada pasangan saya.

Boleh di katakan restoran ini memang sentiasa ramai dikunjungi orang.  Mungkin juga kerana masakan kampung yang disediakan amat menyelerakan dan memenuhi citarasa masyarakat Malaysia.  Saya memberi peluang kepada Lana untuk memilih posisi meja yang disukai.  Selalunya begitulah, saya bersama pasangan memberi peluang kepada anak-anak untuk membuat keputusan.  Lana melabuhkan punggungnya pada kerusi pilihannya dan meminta saya pergi memilih menu saya sendiri di ruang lauk-pauk sementara dia menjadi "penjaga meja".  Istilah orang-orang kita kan.  hihihi..

Kelihatan seorang bapa menyendukkan nasi untuk setiap anaknya. Seorang demi seorang.  Bapa itu berhenti menyenduk apabila sampai giliran saya.  Dia menghulurkan senduk nasi kepada saya untuk memberi ruang saya menyenduk sendiri.  Walaupun saya ingatkan, dia akan menyendukkan nasi untuk saya.  Siapa kita kan? hihihi…

Selesai menyenduk nasi,  saya melangkah ke ruang lauk-pauk melihat-lihat masakan yang dihidangkan.  Mmmmm… sedap...terlintas di fikiran saya.  sehingga saya sudah rambang mata.

Dalam pada itu, telinga saya tertangkap kepada satu suara yang agak keras.

"Nak ikan ni ke?  Tak nak pula.  Kau ni mengada-ada lah".  Kelihatan si bapa tadi memarahi anak kecilnya yang saya kira seusia dengan anak lelaki saya Umar.

Saya seperti terhenti melihat keenakan lauk-pauk di hadapan mata saya.  Mata saya mula tertumpu kepada wajah si anak kecil itu dengan perasaan kasihan.

"Kenapa anak itu di marah di khalayak ramai? Malu dia.  Anak itu juga mempunyai perasaan malu",  saya berkata-kata dalam hati.

"Nah, pergi duduk sana!"  sekali lagi si bapa mengarahkan dengan suara yang agak tinggi kepada si anak.  Saya melihat pada wajah si anak ketidakpuasan hati.  Mungkin juga kerana tidak diberi peluang untuk mengintai-intai lauk-pauk yang terhidang.  Saya yakin anak itu teringin melihat kesemua lauk sebelum lauk yang menjadi pilihan disenduk ke pinggannya yang sudah berisi nasi.

Anak mata saya melihat dari kejauhan.
"Kalaulah dia anak saya?" hati saya berkata sendirian.

Saya meneruskan penjajahan lauk-pauk tadi.  Seperti selera saya sudah mati dengan kejadian tadi. Mudah sahaja saya mencedok ikan bakar talapia sedikit kuah masak lemak kuning.  Fikiran saya berkecamuk.

Saya berjalan menuju ke meja saya di hujung sana sambal mencuit pinggang anak saya.

"opocot! ", Latah si Lana.

"Mama ni!" Sambung si Lana.

"Dah, pergilah ambil nasi.  Nak dekat pukul 2 nanti kita nak jemput Papa pula", kata saya.

"Eh, dia orang duduk sebelah meja aku rupanya", saya berkata dalam hati.  Rupa-rupanya mereka sekeluarga booking meja sebelah saya.

Saya hanya memerhatikan gelagat mereka sekeluarga. Oh, memang begitu rupanya cara mereka berkomunikasi.  Saya cuba menerima dengan pandangan positif walaupun jauh di sudut hati saya amat tidak berpuas hati.

Begitulah ceritanya.  Saya yakin rakan-rakan dan juga sahabat-sahabat pembaca saya ada banyak cadangan kan?  Nasihat saya juga peringatan kepada diri sendiri, didiklah anak seperti seorang yang terhormat.  Jadikan anak-anak sebagai rakan kita, sahabat kita.  Jadikan telinga kita sebagai pendengar kepada cerita-cerita remeh mereka kerana daripada remeh itu ia akan menjadi sangat padu….😁

0 ulasan